Urus masaSebagai contoh, ketika menyiapkan kerja sekolah Sejarah, kita terbayang tentang kerja sekolah Matematik dan Sains. Bila kita sedang mengemas bilik, kita teringat tentang baju yang belum dibasuh atau halaman rumah yang perlu disapu. Apabila minda kita sudah terbahagi kepada beberapa fokus dalam satu masa, ada beberapa perkara akan berlaku.
  • Pertama, kita tidak dapat melakukan kerja yang sedang dilakukan dengan berkesan.
  • Kedua, kita mula hilang semangat dalam menyiapkan kerja yang sedang dilakukan.
  • Ketiga, kita mula rasa terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan lalu cuba menangguhkan semua kerja. Ini adalah disebabkan minda kita rasa ‘terlalu sesak’ dengan terlalu banyak benda. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat dilakukan.
Pelajar yang suka bertangguh dan melengah-lengahkan kerja mereka selalunya disebabkan perkara ini. Mereka hendak buat kerja sekolah Sejarah. baru hendak mula sudah teringat kerja sekolah lain. Minda mereka jadi terlalu sesak dan terus menangguhkan semua kerja sekaligus. Bagaimana cara mereka melegakan perasaan minda yang sesak ini? Mereka akan lakukan sesuatu yang boleh menenangkan dan menggembirakan minda mereka dengan segera sama ada dengan bermain games, menelefon kawan, berbual di internet, menghantar pesanan sms dan sebagainya. Semakin banyak aktiviti ini semua dilakukan, semakin berat hati mereka untuk kembali semula melakukan tugasan-tugasan tadi.
Mel SmartStudyJadi tip hari ini mengatakan, jika kita mahu uruskan masa dengan lebih baik, semasa melakukan sesuatu, fokuskan minda kepada satu perkara itu sahaja. Perkara lain itu lupakan seketika. Sebagai contoh semasa sedang menyiapkan kerja sekolah Sejarah tadi, penuhkan fikiran dengan persoalan mengenai Sejarah. Untuk lebih mudah fokus, jika sedang buat kerja di atas meja, kosongkan meja tersebut. Biar hanya ada buku Sejarah di atas meja. Ini untuk mengelakkan kita asyik terpandang buku lain dan mula teringat tentang kerja lain itu pula.
Satu masalah yang biasa disebut oleh pelajar ialah “saya dah cuba fokus pada satu perkara tetapi minda saya ni asyik teringat kepada perkara lain’. Langsung tidak boleh fokus kepada apa yang dilakukan sekarang. Apa nak buat?” Kalau teringat sahaja tidak mengapa sebenarnya tetapi ini ingat dan mula rasa bimbang dan hilang ‘mood’ untuk buat kerja. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia sama macam pepatah melayu yang mengatakan apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran.
Ada 2 jawapan yang biasa saya berikan untuk soalan ini. Pertama, asyik teringat kepada perkara lain itu adalah perkara biasa. Apa  yang perlu dilakukan ialah apabila kita tersedar yang minda kita sudah mula teringat tentang perkara lain, bawa minda kita pulang semula kepada apa yang sedang dilakukan. Kata kepada diri kita, ‘Satu Perkara Pada Satu Masa!’ dan ingatkan diri kita bahawa kalau sibuk-sibuk risaukan perkara lain pun, bukannya kerja tersebut boleh siap. Lebih kita fokus dan siapkan kerja di hadapan mata sekarang. Semakin cepat kerja sekarang siap, semakin cepatlah kita boleh siapkan kerja yang lain itu.
Kedua, jika minda kita asyik teringat tentang kerja lain, ada kemungkinan kerja itulebih penting dan perlu disiapkan dengan lebih segera. Kadangkala, apabila ada kerja yang susah hendak dilakukan, kita cuba mengelak daripada melakukannya. Contohnya, jika kita benci subjek Matematik Tambahan, kita akan sentiasa cuba mengelak daripada melakukannya. Semakin kita mengelak, semakin kita rasa bimbang kerana ia mesti disiapkan walau dengan apa cara sekalipun. Jadi, semasa kita cuba mengelak daripada melakukan kerja tersebut dengan melakukan kerja lain, fikiran kita akan sentiasa kembali fokus dan terkenang subjek Matematik Tambahan tersebut.
Jadi cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah kita GAGAHKAN diri dan berdepan dengan subjek Matematik Tambahan tersebut. Kata pada diri kita sendiri, “lepas aku siapkan kau, senanglah semua kerja aku yang lain nanti.” Ingatkan diri kita, kalau benda yang paling susah sudah disiapkan, benda-benda lain pasti akan terasa begitu mudah untuk disempurnakan.
Jadi sepanjang cuti sekolah ini dan cuti sekolah yang akan datang, latih diri untuk fikir tentang satu perkara saya pada satu masa. Kalau tengah kemas rumah, fikir tentang kemas rumah dan bagaimana untuk menyiapkan tugas mengemas dengan sempurna dan berkesan. Jangan ingat dan bimbang tentang basuh kasut masa mengemas rumah.
Sumber : Motivasi belajar Osman Affan