November 20, 2010

10 petua hadapi peperiksaan

Majlis Izin Ilmu telah pun disempurnakan pada 15 November 2010.  Peperiksaan SPM akan bermula pada hari Selasa 23 November 2010.  Usah panik apabila masuk dewan peperiksaan kerana ia akan membuatkan calon lupa 50 peratus apa yang telah dipelajari sebelumnya.

Pakar Motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Ahmad telah memberi panduan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak kekusutan di saat akhir  (www.bicaraguru.com). Berikut adalah petua-petua saat akhir menghadapi peperiksaan yang mungkin berguna untuk pelajar.


Jangan panik
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.

Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat
Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)
Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

Banyakkan pembelajaran secara output learning
Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.

Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi
Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

Nota ringkas
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.

Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya
Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.

Pemakanan berkhasiat dan seimbang
Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.

Kawal emosi
Elak terlibat dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

Banyakkan berdoa dan bersolat
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.

0 comments:

Post a Comment