September 28, 2011

40 HARI SEBELUM PEPERIKSAAN


Peperiksaan SPM tinggal 46 hari lagi. Berikut adalah tips yang pelajar boleh amalkan sepanjang tempoh 40 hari sebelum menghadapi peperiksaan. 

1. Meningkatkan amalan kerohanian dengan melaksanakan solat sunat seperti solat tahajud, solat hajat dan solat dhuha agar keadaan emosi dan perasaan pelajar lebih tenang dan yakin. Dalam tempoh masa ini dekatkanlah lagi diri dengan Allah. Banyakkan membaca Al Quran.

2. Menjaga hubungan dengan ibu bapa. Salam dan cium tangan mereka dan sentiasa mohon restu dari mereka. Mintalah ibu bapa mendoakan kejayaan kita.

3. Menjaga dan memperbaiki hubungan dengan guru dengan cara bertanya mengenai soalan yang tidak difahami. Mintalah nasihat guru mengenai persiapan untuk menghadapi peperiksaan. Anggapkan guru sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

4. Menjaga kesihatan fizikal : Hindarkan daripada melaksanakan aktiviti fizikal yang keterlaluan kerana akan menjejaskan keadaan kesihatan seseorang dan seterusnya akan menjejaskan persiapan peperiksaan.

5. Menjaga pemakanan dengan mengambil makanan yang berkhasiat untuk minda seperti kismis.

6. Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan. Jika mereka cuba mempengaruhi anda dengan kegiatan yang membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak”. 


Jika pelajar mahu berjaya mereka perlu medisiplinkan diri dan tidak terikut-ikut dengan nafsu dan perasaan malas yang menguasai diri. Selamat berjaya!












September 26, 2011

PELAKSANAAN JADUAL ANJAL

Tujuan pelaksanaan jadual anjal adalah untuk memaksimakan penggunaan waktu persekolahan dengan aktiviti latih tubi soalan-soalan peperiksaan percubaan negeri lain.  Dengan ini diharapkan akan membiasakan pelajar dengan selok belok teknik menjawab soalan supaya pelajar berjaya mendapat markah yang cemerlang. Jadual anjal akan dilaksanakan selama  2 minggu. Tidak dapat dinafikan ada keburukannya, namun kebaikan pelaksanaannya adalah lebih banyak. Peluang perbincangan bersama guru dan rakan juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


Selepas pelaksanaan jadual anjal selama 2 minggu program Gempur Pecutan Akhir SPM 2011 akan dilaksanakan sepanjang Oktober. Program ini akan melibatkan Bengkel Matapelajaran mengikut kumpulan pelajar sasaran dan dilaksanakan pada hujung minggu Jumaat dan Sabtu dan juga kelas malam. Mudah-mudahan SPM 2011 akan menjadi yang terbaik.